PEMBUKA KATA

Sunday, March 6, 2011

SYAIR


 ANAKANDA UNTUK AYAHANDA DAN BONDA

Jika anakanda jadi menteri
orang berilmu anakanda hampiri
lawan mesyuarat lawan berperi
supaya pekerjaan jadi ugahari

Hendaklah periksa adanya wazir
di dalam kitab sudah terukir
mestilah menjauhkan pekerjaan mungkir
supaya jangan jadi tergelincir

Jika tergelincir pekerjaan salah
pekerjaan anakanda beroleh lelah
rakyat serata tentu bencilah
barangkali datang murkanya Allah

Jika anakanda menjadi besar
tutur dan kata janganlah kasar
jangan seperti orang yang sasar
banyaklah orang menaruh gusar

Tutur yang manis anakanda tuturkan
perangai yang lembut anakanda lakukan
hati yang sabar anakanda tetapkan
malu orang anakanda fikirkan


Kesukaan orang anakanda carikan
supaya hatinya tiada lari
masyurlah anakanda di dalam negeri
sebab kelakuan bijak sekali

Hendaklah anakanda jagakan nama
mendirikan hak dengan saksama
pekerjaan bidaah jangan diterima
walaupun sekecil seperti hama

Haruslah sabar lelah dan penat
mematuhi raja walaupun tenat
jangan bersifat menteri khianat
mungkir setia kurang amanat.

No comments:

Post a Comment